Sejarah Sekolah



SK Kampung Luak ditubuhkan pada tahun 1965 dengan bilangan murid seramai 30 orang yang berumur antara 8, 9 dan 10 tahun. Guru besar pertamanya ialah En. Bujang B. Bakeri yang berkhidmat pada tahun 1965 sehingga 1981.

Penduduk kampung yang diketuai oleh Encik Hussaen B. Sanhuri telah bekerja keras untuk mewujudkan sekolah ini, serta mengumpul dan mendaftarkan kanak-kanak tersebut.

Bangunan pertamanya terletak  di atas tanah tumpangan berhampiran dengan tebing anak sungai Luak seluas satu ekar. Tanah tersebut merupakan sebuah rumah yang dipinjamkan oleh Hajah Sinda, yang merupakan isteri kepada ketua Kampung Luak ketika itu, Allahyarham Tn. Hj Keria Bin Hj Sulaiman.
Tetapi malangnya bangunan tersebut telah musnah akibat banjir besar pada tahun 1983. Operasi sekolah dipindahkan sementara di tingkat bawah surau Kampung Luak.

Usaha dipergiatkan untuk membina semula bangunan baru sekolah tersebut. Setahun kemudian (1984) secara bergotong royong sebuah bangunan kayu sebanyak enam kelas telah dibina di atas  tanah lot bernombor 1164 sehingga sekarang.

Bersempena dengan nama Kampung Luak atau teluk, nama sekolah ini telah dipilih. Pada tahun 1984 mencipta sejarah apabila sebuah blok bangunan konkrit, dua unit kuarters guru, satu unit berek dua pintu, sebuah kantin sekolah dan sebuah tandas telah siap dibina untuk menampung muatan murid yang kian bertambah.


Kini SK Kampung Luak berdiri dengan gahnya, dengan kapasiti murid yang kian bertambah. Prestasi akademiknya yang meningkat dengan catatan rekod keputusan UPSR yang membanggakan. Hasil usaha staf akademik, staf sokongan serta sokongan masyarakat setempat khususnya PIBG sekolah, nama SK Kampung Luak akan terus berkembang dan menjadi sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.  

ALMANAC SARAWAK DISEMBER 2022